Assalamualaikum,
Dear blog,
Sekian lama rasanya aku tidak berbual dengan tinta tulisan ku di laman blog ini. YA. Rindu itu menjengah.
Semalam, sepasang kaki ku melangkah ke pantai Batu Layar yang terletak di sempadan tiga pesisir pantai iaitu Tanjung Balau, Desaru dan Batu Layar, Kota Tinggi, Johor.
PANTAI BATU LAYAR, KOTA TINGGI |
Di sana aku melihat keindahan dan ketenangan para tetamu alam yang hadir. Dengan berbekalkan netbook kecil yang kubimbit di tangan, kaki ku berjalan menyusuri pasir-pasir pantai yang memutih.
Sungguh aku tenang di saat itu. Suara ombak yang berkocak menghempas pantai itu mencuit naluri remaja ku yang sentiasa ingin tahu untuk turut mencecahkan kaki ku ke permukaan air.
Suasana yang tenang lagi mendamaikan perasaan tika ini. Pemandangan yang mencuit rasa. Sungguh. Keganasan ombak yang menghempas pantai seperti yang sedang aku alami sewaktu di sini memberi aku rasa bahagia di sudut jiwa.
Seorang lelaki berlari-lari anak di tepian pantai, sekumpulan kanak-kanak yang bergelak ketawa dengan riangnya melawan badai sambil dipeluk erat pelampung getah yang beraneka warna.
Alangkah indahnya menjadi kanak-kanak. Tiada gundah yang mengetuk rasa, tiada masalah yang memerap di rantai jiwa, tiada rasa ragu yang menjengah kalbu. Saat itu aku sedang merindukan zaman kegemilangan kanak-kanakku yang pernah aku lewati suatu waktu dahulu.
Mereka leka membiarkan diri lemas bersama baju dan celana yang lukus dibasahi gelora lautan yang meramas setiap inci kedukaan.
Bicara perihal masalah yang sentiasa menjadi teman setiap manusia. Ombak itu bagai masalah. Dan pantai itu ibarat penasihat yang setia.
Bagiku, masalah bukan lagi sebuah masalah jika tuan empunya badan tidak menganggap ia sebagai masalah. Percaturan hidup ini mudah sebenarnya. MANUSIA. Tidak kira apa jua status, kedudukan, paku di bahu, gelaran waima warna rambut sekalipun pasti memiliki sesuatu yang namanya "masalah".
Konflik yang tidak pernah terlepas daripada pasang surut kehidupan. Dan aku belajar sesuatu daripadanya.
Belajar menghargai semua orang walau sekecil apa yang dia lakukan kepada kita lantas memahami peri pentingnya nilai sebuah penghargaan walau satu zarah ucapan "maaf" dan "terima kasih" sahaja. BESAR maknanya dalam kamus hidup kita.
Akhir kalam,
Ketenangan itu kita yang rasa, kita yang miliki, kita jua yang menghapusnya. Hanya Dia yang Maha Tahu setenang mana hati ini, dan sehingga ke hari ini, masih kekal perasaan itu. Harapanku ia sudi untuk kekal sampai bila-bila, inshaa Allah :)
"Cerita tentang kita takkan pernah terhenti di sini ... " KREDIT UNTUK PENEMAN SETIAKU SEKIAN BilaCeritaTercipta.Blogspot.Com-NynaEts" aku menulis pada 28/11/2014, 3.15 p.m :) |
No comments:
Post a Comment